KOTA KINABALU: Keputusan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertanding di kerusi Parlimen ditandingi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) harus dipandang serius.
Tindakan Presiden Parti KDM, Datuk Peter Anthony meletakkan calon di kerusi ditandingi GRS-BN tidak selari dengan hasrat parti itu untuk menyertai GRS.
Justeru, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor perlu menyatakan pendirian yang tegas berkaitan kemasukan parti KDM dalam gabungan tersebut.
Setiausaha BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, GRS perlu berpendirian teguh soal penyertaan parti KDM dalam gabungan tersebut kerana ia penting bagi mengelak kekeliruan.
“Seperti yang kita tahu, parti KDM telah menyatakan sokongan dan telah memohon menyertai GRS tetapi, pada masa yang sama, KDM sudah mengumumkan beberapa calon untuk menentang calon-calon Barisan Nasional dan GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Situasi ini menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jafry berkata, selaku Pengerusi GRS, Hajiji perlu memperjelaskan perkara itu demi kebaikan bersama.
Pada Selasa, Peter Anthony mengumumkan parti KDM akan meletak calon di empat kerusi Parlimen iaitu Kimanis, Sepanggar, Kota Kinabalu dan Kota Marudu.
Malah, Presiden KDM itu menyatakan, di peringkat negeri parti itu memang menyokong kerajaan GRS-BN namun, pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya di peringkat Parlimen maka, mereka akan meletakkan calon kerana permohonan menyertai GRS masih belum diluluskan.
Pada PRU-15, parti KDM akan bergerak solo dengan menggunakan logo parti iaitu bunga rafflesia.-UTUSAN










