Aliah rela bertatih perkenal bakat

Aliah rela bertatih perkenal bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN penyanyi, Aliah Adilah dalam industri seni, mungkin terlalu baru jika hendak dibandingkan dengan idolanya, Aina Abdul. 

Belum terkenal dan belum berupaya mencipta populariti, malah perjalanannya masih terlalu jauh untuk sampai ke tahap itu. 

Pun begitu, sedaya upaya Aliah cuba membuang perasaan gementar kerana percaya, bakat yang ada dapat dikongsi, seterusnya dihargai mereka yang arif menilai. 

Bertatih memulakan perjalanan menerusi single Resah, Aliah tidak menyangka, nasib menyebelahinya ketika dia berjinak-jinak menjadikan ruang Instagram dan TikTok sebagai platform memperkenalkan namanya kepada umum. 

“Saya mula sedar dikurniakan bakat menyanyi ketika berusia 15 tahun. Saya banyak menyertai pertandingan nyanyian di sekolah, cuma ramai mula memberi perhatian apabila saya sering berkongsi video nyanyian di Instagram. 

“Saya bawakan lagu popular artis lain dan mendapat sambutan. Saya seterusnya beralih ke TikTok dan bermula di situ, kehidupan saya berubah.Tidak sangka lagu cover Malam Semakin Dingin, nyanyian arwah Achik Spin membawa tuah. 

“Sehingga kini, jumlah tontonan sudah mencecah 1.5 juta. Bakat saya seterusnya dikesan Azizul Jaabar Azizain atau Joy selepas menonton persembahan saya di ibu negara. Dari situ, langkah serius saya dalam bidang seni bermula,” katanya. 

Berkongsi lanjut, kata penyanyi berusia 19 tahun ini, dia akur sebagai orang baharu, pasti akan ada banyak mata yang cuba mencari salah dan silapnya. Paling tidak, membandingkan kehadirannya dengan penyanyi sedia ada.

 

BERANI MENCUBA 

Menerapkan fikiran positif, Aliah yakin setiap artis mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. 

Malah, pandangan negatif tidak sedikitpun melunturkan semangatnya untuk meneruskan hasrat melebarkan sayap dalam bidang seni. 

“Saya tidak pernah terfikir akan terjebak dalam dunia seni dan menjadi penyanyi. Semasa kecil, saya bercita-cita untuk menjadi doktor gigi. Tetapi, takdir telah membawa saya ke arah ini. 

“Saya yakin, ini adalah jalan rezeki dan kena berusaha membina kerjaya seni dengan baik. Mungkin permulaan sebagai penyanyi, tetapi siapa tahu selepas ini saya diberi peluang mencuba bidang lain seperti pengacaraan atau lakonan. 

“Saya berani mencuba dan sukakan cabaran. Persaingan akan sentiasa ada, tetapi saya tidak mudah putus asa. Mungkin selepas ini saya akan mempelbagaikan genre lagu, di samping merancang strategi lain melonjakkan kerjaya,” katanya. 

Pelajar tahun pertama Diploma Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini juga menaruh harapan, peminat muzik dapat menerima kehadiran Resah sebagai salam perkenalan. 

 

BERI KESEDARAN 

Bercerita mengenai Resah, kata Aliah, lagu itu berkisar pengalaman yang dialami penulis lirik, Rosabelle S, yang berdepan penyakit Anxiety Disorder atau keresahan melampau. 

“Apa yang dirasakan dan dialami penulis digarap menjadi bingkisan buat pendengar. Itu yang menjadikan lagu ini unik kerana ada sentuhan tersendiri. 

“Terus-terang, saya tidak pernah berdepan pengalaman seperti itu. Alhamdulillah, saya masih diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT. 

“Namun, ketika menghasilkan video muzik (MV) Resah, saya diminta untuk menjiwai perasaan itu. Susah juga kerana tidak pernah alami. Banyak kali kena ulangi babak, tetapi Alhamdulillah, semuanya selesai seperti yang diinginkan,” katanya. 

Jelas Aliah, dia berharap penghasilan MV Resah dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit tersebut. 

“Kita mampu memainkan peranan untuk membantu mereka yang berdepan situasi ini. Semoga menerusi Resah, hasrat dan mesej itu dapat disebarkan dengan lebih efektif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×