ALOR SETAR: Kontroversi yang timbul mengenai kejadian anak-anak muda terkinja-kinja tanpa arah dalam satu persembahan muzik berhampiran Balai Seni di sini minggu lalu, timbul disebabkan pengaruh iblis dan syaitan selain ‘dicampur’ dengan nafsu jahat dalam diri individu tertentu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor berkata, perkara itu terjadi secara luar jangka dalam satu festival yang berlangsung dengan sangat baik untuk tempoh beberapa hari sebelum itu.
“Kerajaan negeri tak tahu apa-apa dan bukannya ada permohonan depa (mereka) nak terkinja-kinja atau tergedik-gedik. Dalam kelulusan pun tak dibenarkan tergedik-gedik, terkinja-kinja dan terlompat-lompat tak ketahuan hala macam masuk hantu begitu.
“Tetapi perkara itu terjadi juga apabila iblis campur syaitan, campur dengan nafsu jahat dalam diri. Tiada siapa menjangkakan dan ada seekor lagi iblis yang ambil gambar serta sebar perkara tersebut.
“Iblis dan syaitan bercuti, dia tolong buat kerja mereka sedangkan benda-benda buruk bukan boleh sebarkan. Benda buruk serta aib orang kena tutup tetapi iblis dan syaitan ini ada telefon canggih, dia rakam dan gambarkan seolah-olah semua program dianjurkan tersebut bersifat sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Wan Romani Wan Salim, hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan aksi terkinja-kinja di Balai Seni Negeri.
Acara itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Negeri, Masjid Zahir serta Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).
Mengulas lanjut, katanya, program tersebut secara keseluruhannya sama sekali berbeza daripada apa yang digambarkan dalam klip video yang tersebar.
“Kejadian yang tular itu berlaku satu atau dua minit saja sedangkan dalam tempoh dua atau tiga hari itu, program berjalan sangat baik. Cumanya pada minit-minit terakhir sebelum hujan turun, iblis berpangkat sarjan serta brigadier jeneral mai (datang) cucuk depa suruh tergedik-gedik.
“Kemudian iblis suruh orang rakam, sebarkan dan cucuk pula orang lain suruh percaya bahawa program tergedik-gedik itu kerajaan negeri punya kerja, manakala Sanusi kena bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN