96 peratus tidak sedar risiko osteoporosis

96 peratus tidak sedar risiko osteoporosis

KERAP bersenam antara salah satu cara untuk mencegah osteoporosis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 96 peratus rakyat Malaysia tidak menyedari faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis mereka dan 82 peratus tidak sedar mereka harus memulakan penilaian kesihatan tulang dari usia 60 tahun.

Presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia, Prof. Dr. Chan Siew Pheng berkata, berdasarkan peningkatan populasi warga tua dan ramalan peningkatan bilangan kes kepatahan tulang pinggul tertinggi di Asia, Malaysia dijangka dibebankan dengan kos RM530 juta untuk perkhidmatan berkaitan kesihatan menjelang tahun 2050.

“Dilaporkan bahawa walaupun seorang individu mempunyai risiko tinggi untuk mengalami patah tulang osteoporosis, hanya 12 peratus pesakit menggunakan ubat untuk menjamin kesihatan tulang,” katanya semasa forum Hari Osteoporosis Sedunia.

Osteoporosis sering disifatkan sebagai penyakit senyap kerana ia melemahkan tulang secara berkala dan tidak didiagnosis sehingga kepatahan tulang berlaku.

Sementara itu, Presiden Rangkaian Fraktur Kerapuhan Malaysia dan Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Datuk Dr Lee Joon Kiong berkata, rakyat perlu menyedari bahawa terdapat isu-isu pasca pandemik berkaitan dengan kesihatan tulang yang perlu ditangani.

“Pengurangan aktiviti fizikal secara drastik meningkatkan risiko kejatuhan dan kepatahan tulang serta kekurangan vitamin D disebabkan pendedahan matahari terhad yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan tulang.

“Pengasingan sosial yang semakin meningkat juga boleh mengakibatkan kemerosotan kognitif dalam kalangan warga emas yang mengurangkan kepatuhan terhadap rawatan atau penjagaan pemakanan yang betul,” katanya.

Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur dan Selangor, Choo Yem Kuen pula berkata, antara cara untuk mengelakkan patah tulang dan osteoporosis adalah dengan pemakanan seimbang serta pengambilan kalsium, protein dan Vitamin D yang mencukupi di samping melakukan senaman yang kerap bagi meningkatkan keseimbangan, postur, koordinasi dan kekuatan otot. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya