PETALING JAYA : Sebanyak 94,411 daripada 120,557 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada masa sama, PDRM juga akan bekerjasama erat dengan semua agensi terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik di Malaysia berjalan lancar.
Kata beliau, persediaan telah diaturkan oleh PDRM untuk berganding bahu dengan lain-lain agensi penyelamat bersama-sama menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU-15 kelak.
“PDRM meminta kerjasama semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan agar proses PRU-15 berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada perkara-perkara sensitif amar diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Acryl Sani, PDRM komited dalam menjalankan bagi memastikam keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lmengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian kira-kira pukul 3 petang. –UTUSAN