73 kilang di Melaka diperiksa, tiga diarah tutup - Utusan Malaysia

73 kilang di Melaka diperiksa, tiga diarah tutup

SEORANG anggota Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menampal notis arahan tutup kepada sebuah kilang yang terlibat kerana tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan 58 kompaun berjumlah RM47,350 membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, setakat hari ini, sebanyak 73 kilang memproses makanan diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bersama Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP).

Menurut beliau, kesalahan paling banyak dikesan di Melaka Tengah yang mana 33 kilang dikenakan kompaun diikuti Jasin dan Alor Gajah, masing-masing dengan 18 dan tujuh kilang.

“Dalam pada itu, tiga kilang diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 9 iaitu premis pengilangan makanan tidak menyediakan atau mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM), sebanyak 10 kilang dikenakan kompaun bernilai RM25,000. Kesalahan itu melibatkan kilang memproses mi, tauhu, susu tepung dan aiskrim.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menyeru semua premis pengilangan makanan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). BKKM sentiasa membimbing pihak industri untuk mendapatkan pensijilan tersebut secara percuma serta tempoh sah laku adalah tiga tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, operasi peringkat negeri itu bertujuan memastikan semua kilang di Melaka mendapatkan pensijilan sekurang-kurangnya MeSTI.

Katanya, PJKM merupakan satu sistem amalan terancang yang didokumenkan dan memberi jaminan bahawa mana-mana jenis makanan tertentu tidak akan memudaratkan pengguna apabila dimakan. 

“Antara PJKM yang diperkenalkan kepada premis yang terlibat dalam pengilangan makanan adalah seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP), Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), MeSTI dan sebagainya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya bijak memilih produk makanan yang mempunyai label dan maklumat yang betul serta mempunyai logo pensijilan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN