GUA MUSANG : Lebih 10,000 penduduk di kawasan berisiko banjir di daerah ini diingatkan supaya sentiasa berwaspada sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlaku awal bulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, ingatan itu susulan beberapa kawasan kawasan rendah sering dilanda banjir kilat selepas berlaku hujan lebat berterusan melebihi dua jam.
“Simpan dokumen dan barangan penting. Penduduk di kawasan berisiko perlu sentiasa berwaspada dan patuhi arahan pihak keselamatan yang terlibat sekiranya diarahkan berpindah ke kawasan selamat,” katanya selepas Program Galas Motor Day dan Pelancaran RG 45 di Taman Etnobotani di sini, semalam.
Mohd. Syahbuddin berkata, pematuhan arahan itu penting bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.
Katanya, antara lokasi yang sering dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat ialah di Kampung Kundur, Kampung Batu Papan, Kampung Pulai dan Kuala Betis.
Sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan sebanyak 5,496 kawasan di seluruh negara disenaraikan sebagai lokasi panas atau ‘hotspot’ banjir.
Kelantan adalah negeri ketiga tertinggi dengan 595 kawasan membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Gua Musang, Bachok, Tanah Merah, Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai. – UTUSAN