MELAKA: Orang ramai dinasihati berwaspada dengan geng pecah cermin kereta yang aktif melakukan jenayah pada musim cuti persekolahan ini, ekoran 10 laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berhubung kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kes pecah cermin kereta itu direkodkan berlaku di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Malim dan Batu Berendam pada Rabu dan Khamis lalu.
Jelasnya, modus operandi penjenayah adalah mencuri barang berharga pemilik kereta dalam kenderaan berkenaan.
Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama melibatkan anggaran kerugian mencecah RM20,000.
“Pada 9 September 2022 terkesan hantaran tular di aplikasi WhatsApp melibatkan kejadian jenayah curi bermodus operandi pecah cermin kereta.
“Kejadian ini berlaku dalam kawasan pentadbiran Melaka Tengah meliputi Banda Hilir, Tengkera, Malim dan Batu Berendam.
“Untuk makluman, pada 7 dan 8 September 2022, sebanyak 10 laporan polis telah diterima oleh IPD Melaka Tengah melibatkan kejadian pecah cermin kereta dan kehilangan barang berharga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambah Christopher, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil berat tentang harta benda masing-masing, dengan tidak meninggalkan barang berharga dalam kereta.
“Perbuatan sebegini boleh mengundang peluang kepada penjenayah dan akan mengakibatkan kerugian pada diri sendiri.
“Polis komited dalam melaksanakan tindakan mengesan pelaku jenayah ini. Orang ramai amat dialu-alukan untuk membantu dengan menyalurkan maklumat kejadian agar dapat membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN










