Wang, barang kemas RM500,000 milik suami isteri lesap dikebas anak saudara - Utusan Malaysia

Wang, barang kemas RM500,000 milik suami isteri lesap dikebas anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki mengalami kerugian selepas wang tunai serta barang kemas bernilai RM500,000 yang disimpan di sebuah rumah sewa ‘diketahui’ anak saudaranya.

Anak saudara mangsa berusia 19 tahun itu tergamak memecah masuk kediaman sewa bapa saudaranya itu sebelum melarikan wang tunai serta barang kemas pada 24 Ogos lalu.

Hasil daripada kegiatan itu telah digunakan anak saudara dan rakan sejenayahnya untuk berjoli sakan dengan membeli kenderaan, barang kemas selain dijadikan sebagai wang hantaran untuk pertunangan oleh salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perbuatan itu bagaimanapun terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Seremban, Negeri Sembilan dan Klang, Selangor pada 31 Ogos lalu.

Kata beliau, penahanan itu dilakukan susulan laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 30-an selepas menyedari rumah sewanya dipecah masuk.

“Dalam kejadian itu, pengadu memaklumkan peti besi yang diletakkan di ruang dapur rumahnya dilarikan.

“Anggaran kerugian dilaporkan dalam kejadian itu adalah RM430,000 termasuk wang tunai dan barangan kemas berjumlah RM200,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Mohamad Fakhrudin, wang berkenaan adalah hasil pelaburan mata wang asing oleh pengadu bersama isterinya sejak 2020 sehingga Januari lalu.

Menurutnya, mangsa menyimpan wang serta barang kemas di banglo satu tingkat yang disewa RM5,000 sebulan kerana dia mendakwa tidak percaya untuk menyimpannya di bank.

Kata beliau, susulan itu, sebanyak 11 lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun telah ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Seremban pukul 3.30 petang pada 31 Ogos lalu.

“Dalam serbuan itu, kami merampas dua motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam telefon pintar dan satu beg berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi.

“Siasatan lanjut dilakukan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 20-an di sebuah rumah di Klang, dekat sini sebelum sebuah telefon pintar, jam tangan berjenama (dua utas), kamera, motosikal Kawasaki 150RR, selipar, kad pendaftaran motosikal serta wang tunai RM1,000 dirampas.

“Pemeriksaan lanjut di rumah 11 suspek lain yang terletak di sekitar Klang membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi selain wang tunai berjumlah RM55,950,” jelasnya.

Kata Mohamad Fakhrudin, jumlah keseluruhan rampasan adalah RM271,209, manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan dalam talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.

“Malah, ada wang tunai dipercayai turut dibelanjakan suspek mengunjungi pusat hiburan dan melanggan pelacur selain diberikan kepada ahli keluarga yang dibelanjakan,” jelasnya.

Tambah Mohamad Fakhrudin, salah seorang suspek juga didapati menggunakan wang hasil curi sebagai hantaran pertunangan berjumlah RM10,000 selain pembelian barang kemas bernilai RM10,000 sebagai barang hantaran yang dirampas daripada tunangnya.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 1 Ogos lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN