SEREMBAN: Keputusan sama ada berlaku rundingan atau pertemuan antara UMNO dan Pas selepas ini termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu perlu membuat keputusan tentang rundingan dan kerjasama tersebut termasuk menilai baik dan buruk mengenainya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sekali lagi menegaskan, setakat ini UMNO dan BN memutuskan menghadapi PRU15 secara bersendirian.
“UMNO bukan saya, UMNO adalah parti, jadi parti kena buat keputusan, apa sahaja pandangan saya tidak penting, pandangan parti itu penting. Apa juga mahu diputuskan, perlu diputuskan oleh parti, kerana bukan satu dua orang yang buat keputusan dalam parti.
“Ia diputuskan dalam satu musyawarah dan badan tertinggi adalah Majlis Tertinggi, kalau ada agenda dalam mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi UMNO, kami akan bincang, buruk baik, kelebihan-kelebihan ataupun apa juga, jika kami hendak menilai apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Pas tersebut,” katanya.
Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Seremban berkata demikian ketika ditemui di Program Merdeka@Komuniti DUN Paroi 2022 di Dataran Senawang, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini bahawa Pas menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun dalam membina negara yang baik dan diredai tuhan.
Perkara tersebut menurut Takiyuddin, diputuskan Jawatankuasa Kerja Pas yang bermesyuarat pada 11 September lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pas terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan ta’awun dengan menfokuskan kepada titik-titik persamaan.
Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN menegaskan, sama ada keputusan untuk bersama atau tidak bersama dengan mana-mana pihak, BN ketika ini mesti berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pilihan raya.
“Jentera parti mesti bersiap sedia, tidak pula nanti apabila kami bersama dengan kumpulan itu ini, kami akan relaks tidak buat apa-apa. Tugas saya menyiapkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya, dengan siapa atau tidak dengan siapa, itu keputusan parti. Setakat ini, keputusan parti adalah menghadapi pilihan raya secara sendirian,” katanya. – UTUSAN