MELAKA: Sebuah butik pengantin di Duyong di sini yang sangat terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun sebelum ini mungkin sudah ditutup hari ini jika pengusahanya tidak menjalankan perniagaan menghantar barang bagi menjana pendapatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik butik Mahligai Raja Sehari, Nur Fatihah Mazelan, 30, berkata, dia terpaksa mencari alternatif lain memandangkan sumber utama pendapatannya terjejas susulan penganjuran majlis perkahwinan tidak dibenarkan ketika itu.
Menurutnya, penghantaran barangan dipilih kerana dia mempunyai sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut kelengkapan perkahwinan.
“Perniagaan sangat perlahan sejak PKP dilaksanakan kerana butik tidak boleh beroperasi. Jika ada tempahan untuk acara kecil-kecilan, saya terpaksa buat secara senyap-senyap.
“Hanya perniagaan tertentu seperti penghantaran barang dibenarkan. Saya nampak potensi dan peluang perniagaan tersebut berikutan pergerakan orang ramai yang terbatas.
“Walaupun pendapatan tidak seberapa, saya bersyukur sekurang-kurangnya dapat menampung separuh kos operasi butik,” katanya ketika ditemui pada Festival Pengantin AEON 2022 di sini.
Tambah Nur Fatihah, perniagaan butik pengantinnya semakin pulih sejak rentas negeri dibenarkan pada Oktober 2021.
Katanya, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) turut membuka peluang kepadanya untuk bangkit semula apabila semakin banyak menerima tempahan majlis perkahwinan.
“Alhamdulillah, jadual semakin padat hingga hujung tahun ini terutamanya pada Disember. Ada juga pelanggan yang sudah menempah untuk majlis pada Mei 2023.
“Saya semakin sibuk apabila tiba musim cuti sekolah dengan purata tiga buah rumah seminggu. Saya harap butik akan lebih dikenali selepas menyertai festival pengantin ini,” ujarnya.- UTUSAN










