Titah Sultan Nazrin pedoman pilih pemimpin - Mukhriz

Titah Sultan Nazrin pedoman pilih pemimpin – Mukhriz

MUKHRIZ Mahathir (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk ketika hadir ke program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa, Jerlun, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar semua pihak tidak memandang ringan, leka dan memikirkan justifikasi atau helah untuk menidakkan kewujudan rasuah di depan mata seharusnya menjadi pegangan rakyat memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, titah baginda merupakan satu peringatan betapa rasuah mampu mengundang kemusnahan kepada agama, bangsa dan tanah air sekiranya diteruskan di negara ini.

Menurutnya, beliau risau kerana terdapat individu yang mengaku sebagai pemimpin dan sering keluar masuk mahkamah, masih berlagak seolah-olah diri mereka merupakan satu-satunya orang yang layak mendapat sokongan rakyat bagi memimpin negara.

“Kadang-kadang kita tak faham macam mana mereka masih boleh anggap hanya dirinya seorang saja yang boleh memimpin negara, sedangkan ketika berkuasa masing-masing menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

“Maka saya amat berharap menjelang PRU15, rakyat peka dengan masalah ini dan hanya memilih calon-calon terbukti bersih yang tidak terlibat dengan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa, di sini hari ini.

Ketika melancarkan buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu semalam, Sultan Nazrin turut bertitah agar penilaian rasuah wajib dilakukan secara jujur, ikhlas dan serius jika semua pihak mahu membendung serta menghapuskannya.

Malah menurut baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui realiti akan berlakunya amalan rasuah pada skala membahayakan ketika ini.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, rakyat pada masa sama perlu turut bijak membezakan antara tohmahan dengan kes-kes rasuah yang sememangnya terbukti disabitkan dengan kesalahan di mahkamah.

“Jangan pula termakan fitnah dan silap membuat keputusan kerana fitnah itu juga kerap berlaku dalam negara ini. Bagaimanapun dalam memilih pemimpin, titah baginda itu wajar dijadikan pegangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya