MELAKA: Beberapa kawasan di tiga daerah di Melaka dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang turun sejak pukul 3 pagi ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri memaklumkan, air mula naik di penempatan penduduk sekitar Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin kira-kira pukul 6 pagi.
Antara kawasan yang terjejas teruk di Melaka Tengah adalah Bukit Duyong, Permatang Duyong, Semabok, Solok Bukit Baru Duyong, Desa Duyong, Bukit Godek, Taman Sri Duyong 2, Pengkalan Rama Pantai dan Bukit Bayan.
Di Jasin pula, bah dilaporkan membabitkan Kampung Kilang Berapi Utara, Kampung Merlimau Pasir, Kampung Merlimau Barat, Taman Seri Merlimau dan Taman Merlimau Megah.
Di Alor Gajah, ia melibatkan Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai.
Bagaimanapun, APM Melaka mengesahkan, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini meskipun melibatkan jumlah keluarga terjejas yang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati, air mulai surut di beberapa kawasan bencana dengan kerja-kerja pembersihan mula dilakukan penduduk, manakala cuaca pula dalam keadaan baik. – UTUSAN