PUTRAJAYA: Tiada rawatan istimewa diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Itu jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung perkembangan terkini rawatan kesihatan Najib selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
Khairy juga menegaskan beliau tidak campur tangan dan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Kesihatan dalam menentukan rawatan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.
Menurutnya, Najib sudah dirujuk kepada HKL sebelum ini dan kini dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut serta fisioterapi.
“Tidak ada campur tangan sebaliknya Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang sebaik sahaja pelepasan perubatan dikeluarkan oleh perunding perubatan. Kita telah fikirkan semua rawatan yang diperlukan dan rawatan yang diminta oleh Najib sendiri dan ia telah dilaksanakan. Saya difahamkan pakar perunding akan mengadakan sidang bersama Najib dan keluarga terdekat bagi memaklumkan situasi terkini kesihatan dan pelan rawatan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, Najib juga diberi latihan untuk melakukan sendiri rawatan rehabiltasi.
Berhubung isu pegawai perubatan yang mendedahkan rekod perubatan Najib baru-baru ini, Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) melakukan siasatan mengenainya.
“Jika ada pelanggaran dari segi tata etika maka tindakan disiplin boleh diambil terhadap pegawai perubatan berkenaan. Bagaimanapun, siasatan mestilah dibuat supaya dapat mengesahkan akaun media sosial itu sah milik pegawai perubatan berkenaan dan dia yang menulis posting berkenaan,” katanya. – UTUSAN










