WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau tidak berpuas hati dengan cadangan rundingan baharu daripada Iran, ketika usaha damai masih gagal disambung walaupun gencatan senjata sudah berlangsung selama beberapa minggu.
Menurut agensi berita IRNA, Iran menyerahkan draf cadangan itu kepada pengantara Pakistan pada malam Khamis, tanpa memperincikan kandungannya.
“Pada masa ini saya tidak berpuas hati dengan apa yang mereka tawarkan. Adakah kita mahu pergi dan terus sahaja menghancurkan mereka sepenuhnya atau kita mahu cuba membuat perjanjian?
“Saya lebih suka tidak memilih pilihan pertama atas dasar kemanusiaan,” kata Trump kepada wartawan, sambil menyalahkan kebuntuan rundingan terhadap ‘perpecahan besar’ dalam kepimpinan Iran.
Perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel melalui serangan mengejut pada 28 Februari dihentikan sementara sejak 8 April, dengan hanya satu pusingan rundingan langsung yang gagal setakat ini.
Trump yang berdepan tekanan dalam negara untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi perang tersebut, memaklumkan kepada penggubal undang-undang pada Jumaat permusuhan dengan Iran sudah ‘ditamatkan’ walaupun tiada perubahan pada penempatan tentera AS.
Iran masih mengekalkan kawalan ketat ke atas Selat Hormuz, sekali gus menyekat aliran minyak, gas dan baja utama, manakala AS pula mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
Walaupun rundingan masih buntu, gencatan senjata terus bertahan, namun pertempuran masih berterusan di kawasan lain di rantau itu.
Di bahagian hadapan Lubnan, Israel terus melancarkan serangan maut walaupun terdapat gencatan senjata pada 17 April dengan kumpulan Hizbollah yang disokong Iran, menyebabkan 12 orang terbunuh semalam selepas tentera rejim mengeluarkan arahan pemindahan.
Washington turut mengumumkan meluluskan penjualan senjata besar kepada sekutu di Asia Barat, termasuk perjanjian sistem peluru berpandu Patriot bernilai AS$4 bilion (RM15.88 bilion) kepada Qatar dan hampir AS$1 bilion (RM3.97 bilion) sistem senjata ketepatan kepada Israel.
Pengerusi badan kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei berkata, negaranya tidak pernah mengelak daripada rundingan, namun menegaskan ia tidak akan menerima paksaan dalam syarat perdamaian sambil cuba mengelak konflik baharu.
Rumah Putih tidak mendedahkan butiran cadangan baharu itu, tetapi laporan Axios menyatakan utusan AS, Steve Witkoff sudah mengemukakan pindaan yang meletakkan semula program nuklear Teheran dalam rundingan.
Pindaan tersebut dilaporkan termasuk tuntutan agar Iran tidak memindahkan uranium yang diperkaya dari lokasi yang dibom atau menyambung semula aktiviti di tapak tersebut semasa rundingan berlangsung.
Berita mengenai cadangan Iran itu sempat menyebabkan harga minyak jatuh hampir lima peratus, walaupun ia masih sekitar 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum perang, susulan penutupan Selat Hormuz.
Trump juga berulang kali mengkritik sekutu kerana tidak menyertai usaha membuka semula Selat Hormuz.
Perancis dan Britain mengetuai usaha membentuk gabungan untuk membuka semula laluan itu selepas keamanan dicapai. Namun seorang pegawai AS berkata, Washington kini melancarkan gabungannya sendiri.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata, misi AS itu akan ‘melengkapi’ usaha Eropah dan bukannya menggantikannya.
Dalam perkembangan lain, kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford dilaporkan sudah meninggalkan Asia Barat selepas terlibat dalam operasi terhadap Iran, walaupun dua lagi kapal pengangkut masih berada di rantau itu.-AFP










