PETALING JAYA: Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mencatatkan kemalangan pertama selepas tiga hari dibuka sejak Jumaat lalu.
Ia susulan tindakan seorang pemandu memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk melihat pemandangan sehingga dirempuh sebuah motosikal semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 2.45 petang kira-kira satu kilometer dari Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki telah berhenti di lorong kecemasan dengan tujuan melihat pemandangan.
“Kemudian sebuah motosikal jenis Suzuki dari arah belakang melanggar bahagian belakang kereta terbabit sehingga menyebabkan kecederaan kepada penunggang lelaki di bahagian kaki.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN