Kuala Lumpur: Cubaan dua lelaki ingin melakukan kegiatan samun kedai emas gagal apabila mereka berjaya ditahan polis Jalan 7/62A Bandar Manjalara, Kepong, di sini kelmarin.
Kegiatan kedua-dua suspek berusia 42 dan 43 tahun itu berjaya dipatahkan susulan tindakan pantas empat anggota Balai Polis Kepong yang membuat rondaan di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tangkapan kedua-dua suspek dilakukan selepas empat anggota polis berkenaan sedang membuat rondaan bagi mengesan kejadian pecah cermin kenderaan di kawasan berkenaan pada pukul 8.54 malam.
Kata beliau, ketika rondaan dibuat, anggota polis terbabit menemukan dua lelaki berkenaan menaiki sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kereta itu menemui dua pistol dan beberapa peluru hidup di dalam kenderaan itu.
“Kami turut menemui lapan peluru di dalam poket seluar salah seorang suspek berkenaan, manakala 10 peluru lagi ditemui dalam gengaman seorang lagi suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut. Azmi berkata, siasatan awal dilakukan mendapati kedua-dua suspek itu dalam perancangan untuk merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran.
Kata beliau, hasil siasatan lanjut dilakukan, satu serbuan dilakukan kira-kira pukul 1.15 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Klang Lama.
Jelasnya, hasil serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai dalang utama melakukan rompakan kedai emas bagi kumpulan itu.
“Pemeriksaan dilakukan di dalam rumah itu menemui wang tunai berjumlah RM129,300 dan 39 paket barang kemas dianggarkan bernilai RM175,000,” katanya.
“Semakan dilakukan mendapati dalang utama itu mempunyai lima rekod jenayah dengan tiga daripadanya membabitkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” ujarnya.
Tambah Azmi, seorang daripada dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara pula mempunyai satu rekod jenayah, manakala seorang lagi tiada rekod jenayah dengan kedua-duanya didapati negatif dadah.
“Dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara akan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 September ini, manakala dalang utama turut direman tujuh hari.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1970,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azmi menambah, siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti pembabitan kes jenayah dilakukan ketiga-tiga suspek berkenaan serta dari mana mereka Tak sempat samun kedai emas, dua lelaki ditahan. –UTUSAN










