Tak lemah semangat jaga anak koma

Tak lemah semangat jaga anak koma

SAPIDAH Sahed membetulkan saluran makanan dipasang pada badan Mohd. Zaki Hanfi yang koma sejak lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Menguruskan anak koma bukan mudah, namun itu dilakukan Sapidah Sahed sejak lima tahun lalu yang menumpahkan seluruh kasih sayang kepada Mohd. Zaki Hanafi, 21, yang hanya terbaring selepas terlibat dalam kemalangan motosikal ketika berusia 16 tahun.

Sapidah, 48, berkata, sejak kejadian itu, dunia anak sulungnya daripada dua beradik itu hanya di atas katil akibat tidak boleh bergerak apatah lagi menguruskan diri sendiri.

“Bagi meneruskan kehidupan kami tiga beranak, saya menjual pelbagai jenis kuih lapis serta bingka selain juadah sarapan mengikut tempahan orang ramai.

“Hasil jualan kira-kira RM400 sebulan itulah kami gunakan untuk makan minum kerana bantuan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan sepenuhnya membeli susu khas serta lampin pakai buang untuk Mohd. Zaki yang kami dipanggil Along,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sapidah ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Kelab D’Kluang, Md. Norhalim Md. Amin yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur di rumahnya di Jalan Orkid 5, Taman Orkid dekat sini, semalam.

Menurut Sapidah, dia tidak boleh meninggalkan rumah kerana anak keduanya, Mohd. Zaim, 18, yang baru menamatkan persekolahan bekerja sebagai pembantu kedai untuk menampung hidup mereka.

“Jika ada tempahan daripada masyarakat setempat barulah dibuat mengikut pesanan. Jika tidak, maka tiadalah pendapatan hari itu.

“Namun, semua ini tidak akan melemahkan saya untuk memastikan Along dalam keadaan sihat walaupun sedar bahawa peluangnya untuk pulih semula adalah tipis,” katanya.
Untuk membeli susu khas, dia membelanjakan kira-kira RM960 sebulan manakala lampin pakai buang berjumlah RM210.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu Sapidah boleh menghubunginya menerusi talian 011-51728056 atau menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank bernombor  151061131296. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN