Suami isteri ditahan edar ganja

Suami isteri ditahan edar ganja

AHMAD Shukri Mat Akhir (tengah) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dalam serbuan di Kuala Kedah, di sini, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bernilai RM50,000 di pekarangan sebuah pusat perniagaan di Kuala Kedah, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki dan wanita warga tempatan berusia 33 dan 29 tahun itu ditahan ketika melakukan kegiatan terbabit  melibatkan dadah jenis ganja di tempat parkir di kawasan berkenaan.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah telah menjalankan pemerhatian serta gelagat mereka berdua selama 20 minit sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Saga merah memasuki kawasan itu.

“Polis menahan pasangan suami isteri itu sebelum melakukan pemeriksaan dan menjumpai dua beg kanvas di atas kerusi penumpang belakang kereta Proton Saga yang disewa itu.

“Hasil siasatan itu terdapat  20 bungkusan plastik lutsinar yang berisi ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja hampir seberat 20 kilogram (kg),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Tambahnya, suspek lelaki bekerja sebagai nelayan, manakala isterinya pula bekerja sebagai  tukang cuci dan mereka sengaja menggunakan kereta sewa untuk menjalankan kegiatan jenayah itu bagi mengelak daripada dikesan polis.

“Hasil siasatan mendapati  kedua-dua suspek itu dipercayai telah menjadi pengedar selama setahun dan mendapat bekalan dadah dari selatan negeri ini sebelum dipasarkan di sekitar daerah Kota Setar.

“Dadah jenis ganja itu dikatakan boleh digunakan oleh 20,000 penagih dadah sekiranya terlepas ke pasaran. Turut disita adalah sebuah kereta jenis Chevrolet dan motosikal jenis Yamaha milik suspek yang mana nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM68,000,” katanya.

Menurut Ahmad Shukri, suspek lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala isterinya tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Ahmad Shukri berkata, kedua-dua suspek turut menjalani saringan ujian air kencing dan didapati negatif daripada sebarang pengambilan bahan terlarang. 

Kedua-dua mereka kini ditahan reman sehingga 11 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B akta berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN