KUALA LUMPUR: Status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan tidak berubah.
Dalam kenyataan akhbar, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, petisyen pengampunan buat Najib telah difailkan.
“Petisyen pengampunan telah difailkan oleh Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pada 2 September lalu.
“Ia telah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu ditolak.
“Ini bermakna status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib telah mengekalkan kerusi sebagai Ahli Parlimen Pekan sejak 1976.
Beliau bertanding di kerusi itu selepas bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua meninggal dunia. – UTUSAN