SPRM terbuka cadangan diletakkan di bawah Parlimen

SPRM terbuka cadangan diletakkan di bawah Parlimen

AZAM BAKI ketika sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbuka terhadap cadangan supaya agensi itu diletakkan di bawah Parlimen seperti dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan, keputusan itu mungkin akan menyebabkan SPRM terikat atau terpaksa mengikut polisi dan arahan yang ditetapkan oleh ahli politik.

Sedangkan dalam masa sama ujar beliau, terdapat pihak lain yang mahukan SPRM terus kekal bebas daripada tekanan politik.

Beliau turut mengambil contoh terdapat badan pencegahan rasuah di negara tertentu yang diletakkan di bawah Parlimen atau Senat perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk menjalankan siasatan melibatkan kes berprofil tinggi.

“Saya sebelum ini juga pernah mendapat mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanyakan adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas ‘Ya, terima kasih’, setakat itu sahaja.

“Dalam siasatan kes Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita,”  katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di sini hari ini.

Azam ditanya berkenaan cadangan beberapa pihak sebelum ini supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen yang mana akan memastikan proses semak dan imbang SPRM lebih bebas serta telus.

Mengulas lanjut Azam berkata, SPRM masih boleh dilihat bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen sekiranya cadangan yang digariskan menerusi  Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

Antaranya kata beliau, memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya