SUNGAI PETANI: Seorang daripada lima remaja yang cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh motosikal di Kilometer 102.2, Lebuhraya Utara Selatan awal pagi semalam kini kritikal.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, remaja kritikal itu kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebaik dibawa untuk menerima rawatan sejurus kejadian terbabit.
“Mangsa mengalami pelbagai komplikasi akibat kemalangan terbabit dan kini tidak sedarkan diri berbanding empat rakannya yang mula stabil.
“Pihak hospital sedang memantau rapi keadaannya dan kita sedang menunggu kesemua mereka sedar sepenuhnya untuk dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kejadian pada pukul 2.35 pagi itu berlaku ketika tujuh remaja menunggang enam motosikal jenis Yamaha Y15 dan seorang lagi menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai dalam perjalanan ke arah selatan.
Sebelum kejadian, kesemua mereka yang berumur antara 15 hingga 22 tahun dipercayai menunggang secara beriringan di lebuh raya berkenaan.
Ketika tiba di lokasi kejadian, beberapa penunggang dikatakan hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri mengakibatkan seorang pelajar berumur 15 tahun dan seorang lagi remaja berusia 22 tahun maut akibat parah di kepala.
Sementara itu, Zaidi berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden kemalangan itu agar tampil membantu siasatan.
Katanya, saksi yang melihat kejadian itu boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Saiful Ahmad Jamal di talian 04-4232222.
“Kita dalam proses melengkapkan siasatan termasuk menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan berdekatan lokasi kemalangan untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian.
“Walaupun insiden itu berlaku pada awal pagi ketika tidak ramai pengguna menggunakan laluan itu, tetapi dengan bantuan CCTV dan maklumat sedia ada kita yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN