Semakan kes SRC, Shafee kembali wakili Najib - Utusan Malaysia

Semakan kes SRC, Shafee kembali wakili Najib

NAJIB Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta dana SRC. - UTUSAN/SHIDDIEQQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah kembali ‘beraksi’ mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – kali ini melibatkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.

Permohonan semakan itu difailkan pada 6 September lalu manakala pengurusan kes kali pertama ditetapkan pada 21 Oktober ini.

Muhammad Shafee sebelum ini digugurkan oleh bekas Perdana Menteri daripada mewakili beliau dalam rayuan akhir bulan lalu dan digantikan dengan pasukan pembelaan baharu diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik serta peguam daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

Bagaimanapun, ketika prosiding rayuan pada 18 Ogos lalu, Hisyam pula memohon menarik diri selepas panel lima hakim bersidang tidak membenarkan prosiding itu ditangguhkan manakala peguam daripada ZIST diberhentikan oleh Najib.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Muhammad Shafee memaklumkan beliau kembali bertindak mewakili Najib meskipun berlaku sedikit `kekecohan’ ketika pendengaran rayuan akhir di mahkamah tertinggi negara.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan sambil berseloroh menyatakan peguam tersebut sepatutnya terus mewakili anak guamnya.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes Najib yang menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 200.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 November ini bagi satu lagi tarikh sebutan untuk mengetahui perkembangan permohonan semakan Najib.

Bekas Perdana Menteri memohon menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Terdahulu, dalam prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pengurusan kes kali pertama bagi permohonan semakan itu ditetapkan pada 21 Oktober ini di Mahkamah Persekutuan.

Beliau memohon tarikh sebutan baharu diberikan sementara menunggu pelupusan permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut memaklumkan tarikh pendengaran semakan belum ditetapkan namun pihaknya telah memfailkan notis perakuan segera bagi mempercepatkan pendengarannya.

Ujar beliau, permohonan itu yang difailkan pada 6 September lalu perlu disegerakan kerana ia melibatkan isu asas yang perlu diputuskan segera.

Muhammad Shafee menjangkakan permohonan itu akan didengar pada November ini.

Pada 6 September lalu, bekas Perdana Menteri memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara.

Najib memohon menyemak keputusan panel itu yang menolak permohonan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan hakim bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Najib turut menyemak keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara daripada mendengar rayuan akhir tersebut.

Beliau turut memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai.

Antara alasan yang dikemukakan Najib dalam notis usul semakan itu ialah Hakim Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar perbicaraan itu kerana beliau merupakan bekas Kaunsel Kumpulan Maybank yang memberikan pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Beliau juga menyatakan, pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan ruang dan peluang untuk bersedia sebelum berhujah dalam rayuan akhir itu.

Najib juga mendakwa pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan.

Selain itu, bekas Presiden UMNO itu menyatakan berlaku konflik kepentingan apabila Hakim Tengku Maimun enggan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut sedangkan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dikatakan menunjukkan rasa tidak senang terhadap Najib sejak Mei 2018.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya