KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tetap bersedia mempertahan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekalipun berdepan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau juga tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politiknya menuju pilihan raya.
“Saya tetap bersedia mempertahan Parlimen Seremban walaupun berhadapan dengan Khairy atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan.
“Namun, biarlah rakyat dan pengundi di Seremban menilai dan memutuskan sama ada saya terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Siew Fook mempertahan Parlimen Seremban selama dua penggal pilihan raya sejak PRU13. Pada PRU14 lalu, beliau menang di kawasan itu dengan 85 peratus undi (30,694) menewaskan calon dari MCA, Chong Sin Woon dan calon Pas, Shariffuddin Ahmad.
Khairy semalam dipelawa Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, bertanding di situ ekoran terpaksa melepaskan kerusinya di Rembau selepas 20 tahun berbakti.
Ia bertujuan bagi memberi laluan kepada Ketua UMNO Bahagian Rembau merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di sana pada PRU15 akan datang.
Mengulas lanjut, kata Siew Fook, adalah menjadi hak demokrasi masing-masing untuk sesiapa sahaja bertanding di mana-mana kawasan Parlimen.
“Khairy merupakan tokoh politik yang berkaliber dan sudah tentu merupakan lawan yang kuat di mana sahaja beliau bertanding. Jika benar beliau bertanding di Seremban, maka persaingan ini amat sengit dan menjadi antara kerusi paling panas dalam pilihan raya,” katanya.