ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengarahkan supaya kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang dan mengeluarkan pasir dari kawasan itu dilaksanakan segera, sebagai langkah mengurangkan risiko banjir kilat seperti yang berlaku kelmarin.
Beliau berkata, arahan tersebut sudah dikeluarkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling demi keselamatan penduduk setempat.
Bagaimanapun, beliau mengakui, kerja-kerja tersebut mungkin mengambil masa berikutan kapasiti tanah serta pasir yang terlalu banyak memenuhi sungai yang dulunya berada di bawah paras jalan lebih tiga meter.
“Kini tanah serta pasir memenuhi sungai hingga air berada sama paras dengan jalan. Proses itu memang lama dan lambat kerana dulu mereka buat pengukuhan tebing tetapi apabila datang banjir kali kedua dan ketiga, rosak pula dan perlu dibuat sekali lagi. Selain itu pasir dalam Sungai Kupang turut perlu dikeluarkan. Saya dah minta kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling agar pasir-pasir yang dilonggokkan di tepi sungai itu dibawa keluar dengan segera.
“Walau kena kerja 24 jam sekali pun, bekerjalah untuk bawa keluar semua pasir itu. Timbunan pasir itu perlu dikeluarkan dari situ dan selepas itu, barulah sungai tersebut boleh didalamkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Dewan Seri Mentaloon dekat sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, kerajaan negeri ketika ini sudah melaksanakan proses pengambilalihan tanah untuk memindahkan penduduk yang tinggal dalam kawasan berisiko dilabelkan sebagai ‘zon kuning’ di tepi sungai tersebut.
Menurutnya, setakat ini jumlah rumah yang dikenal pasti berada dalam zon kuning tersebut adalah 17 buah.
“Ini penyelesaian yang kita ada buat waktu ini. Mereka akan dipindahkan ke dalam satu kampung di kawasan itu,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengharapkan agar jabatan berkaitan memberi perhatian terhadap lokasi tolok hujan yang kini berada di bahagian bawah Gunung Inas.
“Keadaan itu menyebabkan ukuran hujan tidak dapat dibuat dengan tepat. Jadi saya berharap jabatan berkaitan untuk memastikan agar tolok hujan ini berada di atas,” katanya. – UTUSAN