Risda tuntut harga lantai getah RM3

Risda tuntut harga lantai getah RM3

HARGA pasaran getah yang semakin menurun memberi kesan kepada kelangsungan hidup penoreh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menuntut harga lantai getah daripada RM2.50 sekilogram dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM3 sekilogram.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd Sharif berkata, harga lantai itu yang semakin menurun memberi kesan kepada penoreh getah apabila tidak dapat menampung kos sara hidup semakin meningkat.

Beliau berkata, semasa kerajaan memutuskan harga lantai untuk getah sebanyak RM2.50 dahulu, kos harga barang dan lain tidak naik tetapi kini keadaan sebaliknya berlaku menyebabkan harga lantai itu tidak lagi sesuai.

Katanya, beliau sudah menyuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mempertimbang harga lantai ini dinaikkan, iaitu kepada RM3.

“Malah, saya juga bangkitkan soalan-soalan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin agar nasib penoreh getah dibela. Kita tahu penjawat awam sudah dibela dengan kenaikan gaji namun kesusahan hari ini juga dihadapi penoreh getah.

“Saya bimbang sekiranya harga ini terus merudum dan pasaran getah hari ini akan sedikit mengakibatkan getah sintetik masuk. Begitu juga keengganan anak muda untuk menceburi bidang ini kerana bayaran sedikit maka banyak getah kita tidak ditoreh atas faktor harga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, penoreh getah tempatan menghadapi kesukaran apabila harga barang keperluan melonjak naik dan harga getah pula terus merundum apabila ketidaktentuan harga berlaku sejak 2012.

Mohd. Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, sudah sampai masanya dalam pembentangan Bajet 2023 nanti kerajaan meletakkan harga lantai sebanyak RM3 sekilogram untuk bahan tersebut.

Tambahnya, Risda sendiri ada memberikan bantuan kepada penoreh-penoreh getah pada musim tengkujuh tetapi masalah yang dihadapi tidak selesai.

Sementara itu, faktor pasaran serantau dan ekonomi global adalah pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran, malah Malaysia kini hanya mengeluarkan empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.

ZURAIDA KAMARUDDIN

Zuraida berkata, disebabkan itu, Malaysia tidak mempunyai kedudukan yang kuat sebagai pengeluar sekiranya ingin melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa.

Jelas beliau, antara faktor yang menyebabkan harga getah menjunam adalah prospek ekonomi global yang lembap berikutan aktiviti kilang global yang lebih perlahan, peningkatan kos bahan mentah dan tenaga global.

“Dana Kewangan Antarabangsa sekali lagi mengurangkan ramalan pertumbuhan global 2022 kepada 3.2 peratus pada Julai 2022. Pada masa yang sama Bank Dunia memotong unjuran pertumbuhan global 2022 kepada 2.9 peratus.

“Ini juga berikutan keadaan pasaran hadapan getah serantau (regional rubber futures market) yang merosot berikutan kawalan pergerakan Covid-19 terkini di Cina dan data perkilangan dunia yang tidak kukuh,” katanya di sini semalam.

Pasaran getah Kuala Lumpur mencatatkan prestasi yang baik dengan harga SMR 20 berada pada paras harga RM7.00 – RM7.30 sekilogram semasa enam bulan pertama tahun ini.

Harga di peringkat ladang pada tempoh tersebut adalah sekitar RM3.00/kilogram, bagaimanapun, harga getah telah mengalami kejatuhan sebanyak 11.7 peratus sepanjang Julai dan Ogos lalu yang mana harga getah peringkat ladang merosot kepada RM2.50 – RM2.80 sekilogram dan menjejaskan pendapatan pekebun kecil getah.

Antara faktor lain yang menyebabkan harga getah jatuh menjunam adalah disebabkan peningkatan bekalan getah asli.

“Rubber Authority of Thailand (RAOT) menjangkakan peningkatan pengeluaran getah asli di Thailand sebanyak 1.82 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 4.9 juta tan pada tahun ini.

“Pada Ogos lalu, International Rubber Study Group (IRSG) menganggarkan lebihan stok getah di mana permintaan getah asli meningkat 1.9 peratus kepada 14.34 juta tan dan bekalan dijangka berkembang 4.3 peratus iaitu 14.36 juta tan,” katanya.

Zuraida dalam masa yang sama berkata, pihaknya tetap komited memastikan nasib pekebun kecil akan dilindungi melalui pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Inisiatif itu akan diteruskan dan akan teraktif apabila purata harga getah mentah bulanan kurang daripada RM2.50 sekilogram bagi memastikan pekebun kecil mendapat insentif harga dan terus menoreh.

“Selain itu, agensi dan majlis berkaitan sektor getah akan terus memantau situasi terkini harga getah di pasaran dan seterusnya mengambil langkah yang perlu bagi menangani keadaan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN