PADANG TERAP: Seorang remaja lelaki maut akibat lemas ketika sedang mandi-manda bersama lapan rakannya di Air Terjun Puncak Janing, di sini, hari ini.
Mangsa lemas, Ahmad Apnan Mohd. Rais, 17, dikatakan sempat menjerit dan meminta tolong sebelum dia tenggelam tanpa dapat dikesan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 12.29 tengah hari.
“Lima anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan tugas-tugas mencari dan menyelamat.
“Dengan menggunakan kaedah ‘gripping iron’, kami berjaya menemukan mayat mangsa pada pukul 1.12 tengah hari untuk dinaikkan ke darat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, petugas Kementerian Kesihatan yang hadir ke lokasi kejadian bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika hujan renyai.
“Menurut saksi, mangsa sempat menjerit meminta tolong sebelum tenggelam. Siasatan mendapati, tiada unsur-unsur jenayah dengan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN