ALOR SETAR: Seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah pada 2005.
Sumber memaklumkan, lelaki berusia 69 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Lelaki itu disyaki menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi untuk mendapatkan suapan.
“Suapan tersebut merupakan sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi untuk dirinya sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah sumber, suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
“Jaminan itu diberikan atas faktor umur dan kesihatan dirinya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dalam siasatan.
“Kami masih menyiasat kes tersebut di bawah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN