PUTRAJAYA: Bilangan warga Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan dan terkandas di luar negara setakat awal bulan ini sudah pun mencecah seramai 195 orang.
Perkara berkenaan didedahkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi kenyataan di sini sebagai merujuk perkembangan terkini membabitkan kegiatan jenayah itu.
Berdasarkan rekod pejabat perwakilan diplomatik Malaysia dan pihak berkuasa di negara tersebut, sehingga 2 September lalu paling ramai menjadi mangsa di Kemboja iaitu 148 orang.
“Selebihnya diikuti negara jiran itu, Thailand dengan seramai 23 orang, Laos pula 22 orang dan Myanmar cuma dua orang,” jelasnya sebagai mengulas jumlah terkini mangsa tersebut.
Beliau turut mengesahkan awal bulan ini pihak Wisma Putra menerima surat daripada dua wakil rakyat di Melaka yang memohon bantuan membebaskan mangsa di beberapa negara.
Mereka turut merayu kerjasama pihak kementerian itu agar dapat membawa pulang rakyat Malaysia yang dianiaya sindiket dengan dijanjikan konon peluang pekerjaan bergaji lumayan.
Mangsa yang kesemuanya itu kaum Cina dilaporkan terpedaya iklan tawaran kerja dengan upah bulanan cukup tinggi sehingga AS$8,000 yang disiarkan menerusi laman sosial tempatan.
Bagaimanapun, apabila tiba di negara tersebut, mangsa dipaksa menjadi ejen panggilan palsu atau scammer dengan ditugaskan memperdaya ramai warga China berada di seluruh dunia.
Usaha pengesanan agak sukar kerana identiti mereka telah diubah dan disorok dalam bangunan dikawal ketat dengan ada diseksa teruk kerana gagal mencapai sasaran jualan ditetapkan.
Terbaharu, media melaporkan kematian seorang mangsa, Zhan Feng, 23, dari Perak ketika dia menerima rawatan di sebuah hospital terpencil berdekatan sempadan Thailand-Myanmar.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata bahawa Wisma Putra memandang amat serius laporan diterima dan bekerjasama rapat dengan polis bagi membolehkan mereka dibawa balik segera.
“Setiap laporan akan disalurkan terus kepada pejabat perwakilan Malaysia di negara tersebut untuk tindakan susulan bersama-sama pihak berkuasa di negara tuan rumah,” tambahnya.
Namun, proses itu ujarnya, tertakluk kepada prosedur dan perundangan di negara terbabit meliputi urusan penyiasatan, perisikan, penyelamatan dan sebagainya yang mengambil masa.
Ketika ini sejumlah 87 mangsa jenayah berkenaan telah pun berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air melibatkan 65 orang dari Kemboja, Laos (10), Thailand (10) dan Myanmar (dua).
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran bekerja di negara asing terutamanya gaji lumayan yang diiklankan melalui wadah media sosial.
Waris pula boleh tampil membuat laporan kes menerusi Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi emel [email protected] atau Bahagian Konsular Wisma Putra.-UTUSAN