KLANG: Penduduk Tama Bukit Lipat Kajang, di sini, hari ini mempertikai laporan penilaian impak sosial (SIA) terhadap cadangan pembinaan pusat penyimpanan abu mayat atau kolumbarium yang berdekatan kawasan perumahan mereka.
Sekretariat jawatankuasa penduduk, Moses Jayaseelan berkata, sebagai penduduk di perumahan berkenaan, beliau tidak mengetahui bila kajian tersebut dibuat dan mendakwa tidak pernah dipanggil dalam mana-mana mesyuarat berkaitan.
Katanya, laporan SIA itu kononnya tidak membantah pembinaan kolumbarium berkenaan pada Mesyuarat Pendengaran Awam bagi Permohonan Kebenaran Merancang Cadangan Pembangunan Perniagaan (Kolumbarium), hari ini.
“Saya difahamkan tadi, ada SIA sudah dibuat, keputusan kononnya mereka (penduduk) sudah memberi kebenaran. Kebenaran itu dibuat dalam mesyuarat tertutup bersama dengan pengusaha (pemaju).
“Kita bantah, sebab tidak dipanggil ataupun diberitahu untuk hadir. Jadi saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Pengerusi SIA tadi cakap ada orang hadir, ada tipu helah ke saya tak tahu. Tetapi kami pembantah (penduduk) tidak diberitahu langsung mengenai mesyuarat SIA itu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pendengaran Awam, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Penduduk di 23 buah rumah dekat Taman Lipat Kajang membantah pembinaan pusat penyimpanan abu mayat atau kolumbarium yang terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan mereka di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah di sini.
Penasihat gerakan gabungan penduduk, Datuk Seri Muhammad Adam Prakash Ardae berkata, pembinaan kolumbarium tersebut didakwa bakal menjadi tempat penyimpanan 25,000 abu mayat dan akan menimbulkan kesesakan dan gangguan ketenteraman penduduk di sana.
Sementara itu, penasihat jawatankuasa penduduk, Datuk Seri Dr. Muhammad Adam Prakash Ardae memaklumkan, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak sepatutnya mengulangi mesyuarat yang sama bagi projek berkenaan.
Ia sudah dibantah sejak 11 tahun lalu. Pelannya juga jelas melanggar syarat kerana terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk yang kemudian hari akan menyebabkan kesesakan teruk di kawasan rumah mereka.
“Sepatutnya MBDK membatalkan terus, tak perlu teruskan mesyuarat atau memanggil kami lagi. Buang masa dan tenaga penduduk. Jelas langgar syarat, batalkan sahaja,” tegasnya. – UTUSAN









