MELAKA: Melaka mencatatkan jumlah lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 111 lelaki kepada setiap 100 perempuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, hasil dapatan Banci Malaysia 2020 turut menunjukkan bahawa, Melaka merekodkan bilangan penduduk berjumlah 998,004 orang berbanding 790,001 orang pada 2010 dengan kadar purata pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 2.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Bagi komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di negeri ini mencatatkan 6.3 peratus berbanding 6.8 peratus di peringkat nasional. Ini bermakna Melaka masih di bawah tujuh peratus untuk dikategorikan sebagai negeri menua.
“Mengikut data Jabatan Perangkaan, daerah Jasin dikategorikan dengan komposisi penduduk umur tua paling tinggi dengan 7.9 peratus berbanding daerah lain di negeri ini,” katanya dalam ucapan perasmian Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosio Ekonomi 2021 di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, tambah Sulaiman, ekonomi Melaka menunjukkan tanda pemulihan dengan merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM41.8 bilion tahun lalu berbanding RM41 bilion pada 2020, iaitu kenaikan sebanyak dua peratus. – UTUSAN