PRU15 wajar diadakan November atau awal tahun depan

PRU15 wajar diadakan November atau awal tahun depan

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sewajarnya dilaksanakan pada November atau awal tahun hadapan berikutan tempoh itu merupakan waktu yang bersesuaian iaitu sebelum atau selepas banjir.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya PRU15 dilaksanakan pada tahun ini namun pembubaran Parlimen seharusnya dibuat dengan mengambil kira semua perkara.

Katanya, jika pembubaran Parlimen dibuat dalam tempoh yang tidak sewajarnya, UMNO pastinya akan terkesan dan berkemungkinan tewas dengan parti lawan.

“Saya tak ada masalah kalau (PRU15) tahun ini, namun jangkaannya biarlah betul. Yang terbaik jika banjir diramal Disember, kita boleh buat PRU15 pada November. Kalau tak pun, tahun depan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan berdepan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi banjir pada akhir tahun ini dengan turut mengenal pasti 25 lokasi hotspot di sekitar Kuala Lumpur.

“Daripada segi perpindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tiada masalah kerana kita telah bersiap siaga sejak dari awal lagi,” katanya.

Tambahnya, dalam memastikan air Sungai Klang tidak melimpah keluar sekiranya hujan lebat berterusan, Jawatankuasa Banjir di Wilayah Persekutuan juga akan menggunakan beg pasir buat sementara waktu bagi mengatasi permasalahan itu.

“Kita juga sedang dalam proses membina tembok bagi mengelakkan air dari Sungai Klang itu melimpah keluar jika hujan lebat berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN