KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak wajar menjadi medan fitnah dan persepsi hingga berlakunya pertembungan dan pergaduhan yang mencarikkan semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat negara ini.
Sebaliknya, bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pilihan raya adalah persoalan ijtihad politik untuk memilih kerajaan yang menguruskan negara secara demokrasi.
Menurutnya, ijtihad politik tidak wajar menjadi sebab perpecahan rakyat sehingga mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan hingga membantutkan pembangunan dan pentadbiran negara.
“Pilihan raya perlu dilaksanakan dengan matang dan sejahtera berasaskan panduan akidah, syariat serta akhlak Islam yang menjadi agama bagi negara. Ijtihad politik ini yang perlu diuruskan sebagai persaingan sihat adik-beradik dan rakan bersaudara tanpa mencarikkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan kemasyarakatan.
“Wajah ekstrem menuduh, mengecam, menyerang, memfitnah adalah wajah politik lapuk yang sudah ketinggalan zaman dan tidak selari dengan Islam yang menjadi agama bagi Malaysia,” katanya dalam satu catatan di Facebook rasminya semalam.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyeru kepada rakyat Malaysia untuk mewarnai politik negara dengan wajah baharu.
“Pembaharuan politik atau ‘tajdid siasah’ perlu digerakkan dan disebarkan untuk generasi baharu politik tanah air. Di sinilah para alim ulama perlu berperanan membimbing umat agar tidak terus bercakaran dalam mempraktikkan ijtihad politik mereka sehingga terkoyaknya persaudaraan Islam dan persaudaraan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN