PRU15: PH mampu menang 27 kerusi kritikal

PRU15: PH mampu menang 27 kerusi kritikal

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) didakwa mampu menang 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya menguasai 30 peratus sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan. 

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kemenangan itu boleh dicapai meskipun berlakunya pertembungan satu lawan satu sama ada bertembung dengan UMNO atau Pas.

“Mengikut pengalaman saya pada pilihan raya umum lalu, anda perlu memenangi hati dan fikiran pengundi, jika mahu memenangi pilihan raya. 

“Jika PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu mencukupi di 27 kerusi itu, melepasi ke paras 30 peratus dalam tempoh dua ke tiga bulan ini, maka ia boleh dilakukan. Mungkin juga kita akan mengejutkan UMNO dan Pas.

“Disebabkan itulah persediaan perlu dilakukan sekarang termasuklah meyakinkan pengundi atas pagar,” katanya kepada pemberita, hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pentauliahan pengurus kempen PKR menggunakan aplikasi CISTA, di sini. 

Media sebelum ini melaporkan, Pas sedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PKR dan PH boleh mendapat manfaat apabila sokongan pengundi Melayu mencecah hingga 30 peratus dengan lebih 80 peratus adalah dari sokongan bukan Melayu, termasuklah jumlah 75 peratus keluar mengundi.

“Sebenarnya 27 kerusi itu majoritinya adalah kerusi ditandingi PKR dan biasanya mempunyai pengundi Melayu seramai 60 hingga 70 peratus.

“Sekiranya UMNO dan PN (Pas) bergabung dan mengelak pertembungan di situ, mereka boleh menguasai sehingga 90 peratus undi Melayu dan menang, walaupun tidak mempunyai banyak sokongan bukan Melayu. 

“Beberapa kerusi (kritikal itu) di Kedah seperti Merbok, Kulim Bandar Baharu serta Tambun (Perak). Di Johor seperti Ledang dan Muar. Di Selangor, di beberapa kerusi yang kuat kerana ramai profesional Melayu cenderung menyokong Pas,” katanya.

Rafizi juga mendakwa, sokongan pengundi hari ini juga lebih terarah kepada PKR disebabkan beberapa isu antaranya mengenai peningkatan kos sara hidup,

“Sejak Julai hingga Ogos lalu, kami melihat perubahan sehingga empat peratus sokongan Melayu kepada PKR dan PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN