PRU15 ketika musim banjir tindakan terburu-buru

PRU15 ketika musim banjir tindakan terburu-buru

MOHAMAD Sabu semasa menyampaikan ucapan penangguhan Konvensyen Nasional 2022 Amanah di Seremban, Negeri Sembilan,  hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika negara dijangka berdepan musim tengkujuh dan banjir disifatkan sebagai satu tindakan terburu-buru.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, dalam setiap pelaksanaan pilihan raya umum, keselesaan kepada rakyat mestilah sentiasa diberi keutamaan.

“Bagi kami, berilah keselesaan kepada rakyat, ada masa sehingga bulan Julai tahun depan, mengapa terburu-buru? Kalau musim banjir, memang susah semua pihak.

“Saya tahu memang hak Perdana Menteri tetapi pertimbang juga kepada rakyat yang susah dan menderita dalam musim banjir, tentu perbelanjaan lebih banyak berlaku kepada rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penangguhan Konvensyen Nasional 2022 Amanah di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekiranya Parlimen tetap dibubarkan dalam waktu terdekat, Amanah tetap bersedia.

“Kalau mereka bubar, kami terpaksa terlibat, kena bersedia daripada sekarang, konvensyen ini pun (lihat) semangat kembali pulih mahu berdepan rakyat. Mereka (BN) nampak terdesak walaupun di musim banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN