PASIR PUTEH: Dibangunkan dengan kos jutaan ringgit namun terbiar sejak lima tahun lalu.
Demikian keadaan lebih 10 premis berhampiran Pasar Ikan Tok Bali dekat sini, yang sebelum ini dibangunkan bagi tujuan menjana ekonomi penduduk menerusi aktiviti perniagaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Ismail Awang, 58, berkata, mengikut pelan asal, premis itu cukup strategik untuk menjalankan perniagaan dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk surau.
Sehubungan itu, dia menggesa kerajaan negeri menghidupkan semula premis berkenaan agar nilai jutaan ringgit yang diperuntukkan untuk pembinaannya tidak sia-sia.
“Usaha itu dilihat berupaya menjana pulangan ekonomi kepada rakyat menerusi aktiviti urus niaga. Kawasan ini disifatkan cukup strategik jika ia dipromosikan sebaik mungkin oleh kerajaan kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
“Namun sayang, apabila premis ini tidak dijaga sekali gus mematikan fungsi kawasan tersebut sebagai tarikan ekonomi. Saya difahamkan premis ini adalah milik syarikat kerajaan negeri yang sebelum ini terurus dan dikunjungi ramai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Kamarudin Ahmad, 40, berkata, wakaf besar dekat premis itu yang sepatutnya menjadi sebagai lokasi rehat pengunjung kini dipenuhi sampah sarap.
Katanya, memburukkan lagi keadaan, lokasi tersebut menjadi tempat pembuangan kucing liar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan biarkan bangunan dengan seni bina yang cantik dipenuhi dengan semak samun yang mungkin terlepas pandang oleh pihak terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, pihaknya sudah memantau lokasi dan premis berkenaan.
Menurutnya, ia akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri untuk dibangunkan semula sejajar kepentingannya yang boleh dijadikan aset pelancongan dan menjana ekonomi setempat. – UTUSAN