Premis makanan sejuk beku degil curi elektrik diserbu

Premis makanan sejuk beku degil curi elektrik diserbu

MOHD. Yusri Hassan Basri (kanan) menunjukkan gambar premis perniagaan makanan sejuk beku di Hutan Melintang yang diserbu semalam kerana didapati melakukan pengubahsuaian meter TNB bagi tujuan mencuri elektrik dalam sidang akhbar di IPKPerak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Walaupun telah dikompaun lima kali atas kesalahan mencuri elektrik, sebuah premis perniagaan makanan sejuk beku di Hutan Melintang masih berdegil apabila dikesan melakukan kesalahan sama.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar dalam serbuan oleh Bahagian Risikan Operasi/Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dibantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan ke atas premis itu selepas disyaki menggunakan elektrik secara haram melalui penyambungan dan pengubahsuaian wayar di bilik pencawang elektrik TNB. 

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat pintasan pada litar arus pendua S1 dan S2 bagi ketiga-tiga fasa pada terminal alat ubah dengan menggunakan wayar asing.

“Dalam serbuan itu, kita telah merampas plastik berisi wayar asing berwarna hitam yang disambung dengan kotak berwarna merah dan kunci dipercayai kunci pagar terminal alat ubah yang diserahkan oleh team SEAL TNB.

“Siasatan mendapati, premis ini mula menjalankan kegiatan curi elektrik sejak 2016 dan pernah dikompaun oleh TNB sebanyak lima kali dengan setiap kompaun bernilai RM20,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, anggaran kerugian yang ditanggung TNB akibat kegiatan tersebut berjumlah RM1.3 juta yang direkodkan sejak 2019.

“Mereka ini mengubah suai meter TNB bagi tujuan mengurangkan bil elektrik. Mereka tetap bayar bil elektrik tetapi dalam nilai yang kurang berbanding jumlah asal.

“Jika bayaran bulanan bil elektrik adalah sebanyak RM90,000, tetapi disebabkan tindakan curi elektrik ini, mereka bayar bil berjumlah RM15,000 sahaja,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang merupakan penyelia premis ditahan bersama 57 pekerja warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.

Katanya, kesemua warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan diri yang sah.

“Reman ke atas penyelia premis tersebut dibenarkan selama empat hari manakala kesemua warga asing itu pula 14 hari bermula hari ini sehingga 10 Oktober depan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya