Polis tahan dua lelaki bantu siasatan gaduh curi burung

Polis tahan dua lelaki bantu siasatan gaduh curi burung

TANGKAP layar yang menunjukkan kejadian di Kampung Pantai Kundor, Kota Bharu, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan melibat sekumpulan lelaki didakwa berpunca kecurian seekor burung bernilai RM10,000 di Kampung Pantai Kundor di sini, semalam.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia antara 38 dan 44 tahun itu ditahan pada pukul 8.33 malam sebaik sahaja polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, penangkapan kedua-dua suspek itu dilakukan bertujuan membantu siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, susulan itu polis sudah mengenal pasti individu lain yang terbabit dalam kejadian tersebut.

“Kita akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintenden Mohd. Ridhuan Ismail di talian 019-2454124 atau 09-7752200.

Katanya, pada masa yang sama masyarakat diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

Terdahulu, video tular itu menunjukkan sekumpulan individu bergaduh termasuk menggunakan kayu kerana didakwa seorang lelaki mencuri burung yang bernilai hampir RM10,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN