Polis sifatkan dakwaan culik di Kelantan tidak berasas -

Polis sifatkan dakwaan culik di Kelantan tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menegaskan dakwaan culik atau membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang tular dalam laman sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati kesemua dakwaan itu tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak.

Menurutnya, sehubungan itu, polis meminta semua masyarakat menghentikan perbuatan menyebar berita berkait perkara tersebut sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

“Pada 22 dan 26 September lepas, kita menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik murid sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

“Hasil siasatan, kita mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai nait untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Muhamad Zaki memberitahu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuk dari pihak polis bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Katanya, polis juga telah menjalankan siasatan berkait kes tular sepucuk surat dari sebuah sekolah di negeri ini yang mengingatkan ibu bapa menjaga dan mengawasi anak anak mereka sewaktu menghantar serta mengambil pulang anak berikutan risiko menjadi mangsa culik.

“Namun, ia  tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan kes itu dengan sindiket mengambil organ kanak kanak dan sebagainya.

“Baru-baru ini dakwaan berkait kes culik turut berlaku di Kuala Krai. Bila polis menjalankan siasatan individu yang dikatakan cuba menculik itu rupanya kakitangan sebuah syarikat  perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di kawasan tersebut,”ujarnya.

Muhamad Zaki memberitahu, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal bulan lalu sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila di belasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak kanak.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang murid tahun dua berdepan detik cemas apabila dia dipercayai diajak empat lelaki yang tidak dikenalinya untuk menaiki sebuah kereta semasa berada di depan sekolah di Selising, Pasir Puteh.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semasa kanak-kanak berusia lapan tahun itu sedang menunggu ibunya untuk menjemput pulang dari sekolah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN