Polis serbu setor simpanan petrol dalam ladang getah

Polis serbu setor simpanan petrol dalam ladang getah

TIGA tong drum dipercayai berisi petrol yang disimpan secara haram dalam sebuah setor dirampas oleh pihak polis menerusi serbuan di sekitar Kampung Kok Mok, Padang Besar, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Tindakan licik seorang lelaki yang menyimpan petrol secara haram di sebuah setor di dalam kawasan ladang getah sekitar Kampung Kok Mak di sini berjaya dihidu pihak berkuasa menerusi serbuan di premis berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, serbuan sekitar pukul 5.45 petang itu dilakukan menerusi intipan selama beberapa hari oleh pasukan penyiasat di kawasan terlibat.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat tiga tong drum dipercayai berisi petrol yang disorokkan dalam setor terbabit.

“Menerusi serbuan berkenaan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang juga merupakan pemilik setor haram tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, pihaknya merampas 540 liter petrol, satu unit pam sedut dan dua hos getah dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM2,228.

Katanya, siasatan awal dilakukan juga mendapati jarak setor itu dengan jalan utama adalah sekitar 500 meter malah kedudukannya jauh dari kawasan perumahan setempat.

“Hasil risikan mendapati setor haram itu telah wujud lebih kurang dua minggu sebelum serbuan ini dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, semua hasil rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Polis Padang Besar memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan terus di talian hotline 04-942222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya