Polis gempur 21 port dadah, tahan 408 individu - Utusan Malaysia

Polis gempur 21 port dadah, tahan 408 individu

MOHD. Yusri Hassan Basri dalam sidang akhbar mengenai kejayaan Op Tapis Khas di IPK Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM194,091 selepas menahan 408 individu termasuk tiga warga asing menerusi Op Tapis Khas di seluruh negeri sejak Isnin hingga kelmarin.

Operasi selama tiga hari itu dijalankan 279 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan melibatkan suspek berusia antara 16 hingga 63 tahun termasuk tiga warga asing dari Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Katanya, 21 sarang penagihan dadah diserbu dalam operasi itu termasuk jeti nelayan, ladang swasta, kawasan felda dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Dalam operasi itu, kita turut merampas 5.07 kilogram (kg) heroin, 136.31 gram syabu, 24.01 gram ganja, 29.9 kg daun ketum, 117.45 liter cecair ketum, pil erimin 5, pil yaba dan ketamin.

“Selain itu, dua buah kereta dan empat buah motosikal turut disita bersama wang tunai. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan tersebut berjumlah RM258,109,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Tambahnya, seramai 34 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 165 individu memiliki dadah dan 188 individu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. 

“Tujuh individu ditangkap di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala 14 orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya