PN mesyuarat minggu depan tentukan logo Pas di tiga negeri 

PN mesyuarat minggu depan tentukan logo Pas di tiga negeri  

MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan Abdul Hadi Awang ketika menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat minggu depan berkaitan penggunaan logo Pas melibatkan negeri di bawah pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu antara yang dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN sebagai salah satu strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 “Itu kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Apa-apa pun semua perkara dalam PN ini kita bincang bersama-sama. Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai, kita akan ambil kira. 

 “Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, keputusan akan dibuat Ahli Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat yang kita adakan mungkin minggu depan,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

 Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam menegaskan, penyokong parti itu termasuk akar umbinya alah dengan logo PN yang mempunyai warna biru seakan Barisan Nasional (BN).

 Sementara itu, dari segi persiapan pembahagian kerusi di peringkat PN, kata Muhyiddin, gabungan itu sudah memulakan rundingan dengan semua parti dan akan diperincikan dalam masa terdekat.

 “Kita sudah mula rundingan (pembahagian kerusi) tetapi belum selesai. Tapi saya sudah diberitahu untuk disegerakan,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

 Ketika ditanya tempoh rundingan itu, kata Muhyiddin, ia dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum PRU15.

 Berkaitan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kata beliau, ia sekadar pandangan tentang keterbukaan Bersatu, namun tidak menafikan ia sesuatu yang sukar kerana tentangan daripada akar umbi dan penyokong parti.

 “Itu cuma nak menunjukkan apa orang kata, sebelum ini ada pihak-pihak yang mencadangkan kalau boleh mengelakkan pertembungan. Suara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PN iaitu Ketua Pemuda Pas dalam konvensyen. Jadi saya bagi reaksi.

 “Tapi saya faham situasinya agak sukar. Jadi apa pun situasi kalau sudah begitu situasinya kita akan menghadapi realiti kalau ada pertembungan, kita akan lawan. Kita bersedia untuk menghadapi tiga penjurukah, empat penjurukah, tidak menjadi masalah pada kita,” katanya.

 Katanya, pendirian itu juga menandakan sikap keterbukaan Bersatu, namun parti itu tetap mendukung pendirian yang ditetapkan bersama dalam gabungan PN.

 “Kita faham juga akar umbi tidak bersetuju. Tetapi kalau apa pun situasi PN, ada pendirian dan apa keputusan yang kita akan buat atau pun telah kita buat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama,” katanya. – UTYUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN