KANGAR: PKR negeri menyasarkan bertanding lebih tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di Perlis.
Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad berkata, parti itu juga menyasarkan mempertahan kemenangan di kerusi sedia ada di samping memberi fokus untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri.
Katanya, bagi membentuk kerajaan negeri, Pakatan Harapan (PH) perlu menang sekurang-kurangnya lapan kerusi DUN pada PRU15.
“Rundingan (agihan kerusi) itu belum dimuktamadkan. Kalau ikut tradisi, kita (PKR) bertanding di mana kerusi kita pernah lawan. Kerusi-kerusi yang kalah dan pernah ditandingi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sebelum ini terbuka bagi rundingan atau perbincangan untuk agihan dalam menghadapi PRU15,” katanya di sini hari ini.
Sebagai rekod, PKR memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Kangar dan tiga kerusi DUN di Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Sena dalam PRU-14. – UTUSAN