PETALING JAYA: Tindakan seorang penuntut warga asing di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) memiliki bahan pornografi kanak-kanak untuk melakukan ugutan terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin lalu.
Penahanan suspek berusia 24 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, hasil pemeriksaan dilakukan menemukan beberapa bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer riba dan telefon bimbit milik suspek.
Noorsiah berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa.
“Suspek dipercayai melakukan ugutan bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.
“Kejayaan penahanan suspek itu adalah hasil kerjasama erat antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Kata beliau, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 10 akta sama di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini. – UTUSAN