Peniaga tudung didakwa 166 pertuduhan tipu, pinjam RM483,570 wang kekasih - Utusan Malaysia

Peniaga tudung didakwa 166 pertuduhan tipu, pinjam RM483,570 wang kekasih

ANGGOTA polis (kanan) mengiringi tertuduh semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang peniaga tudung didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 166 pertuduhan menipu kekasihnya yang dikenali secara dalam talian dengan meminjam wang sebanyak RM483,570 daripada lelaki itu.

Ini dilakukan dengan cara menyamar menggunakan identiti lain dalam tempoh dua tahun.

Tertuduh, Natasha Adini Abdullah, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan selama tiga jam oleh jurubahasa di hadapan Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 32 tahun dengan cara memperdaya lelaki itu untuk meminjam wang dengan menyamar sebagai Nur Farah Alisya.

Perbuatan itu dengan curangnya mendorong lelaki tersebut membuat 166 transaksi pindahan wang kira-kira RM300 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM483,570 ke dalam satu akaun bank atas nama Natasha Adini Abdullah.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di mesin pengeluaran automatik (ATM) sebuah bank di sini pada 3 Julai 2018 hingga 6 Ogos 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan sebanyak RM285,000 untuk kesemua pertuduhan yang dihadapi wanita itu.

Natasha Adini dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah diberikan kepadanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM28,700 bagi kesemua pertuduhan dengan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.