Penguasaan kerusi Parlimen Sabah dijangka seimbang

Penguasaan kerusi Parlimen Sabah dijangka seimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti-parti besar di Sabah dilihat mempunyai kedudukan yang seimbang dalam memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof.Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, potensi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan) memang seimbang.

Walau bagaimanapun, sekiranya GRS dan BN tidak bekerjasama, ia akan memberi kelebihan kepada Warisan untuk menang.

Namun, berdasarkan keadaan semasa, Warisan dilihat tidak akan mampu mempertahankan kesemua sembilan kerusi yang disandang pada PRU-14.

“Warisan mungkin akan mendapat kerusi yang kurang kerana kita melihat Parlimen Papar akan menjadi rebutan.

“Secara tradisinya, Parlimen Papar merupakan kerusi BN dan tidak mustahil kerusi itu akan jatuh semula kepada parti berkenaan.

“Mungkin hanya enam kerusi mampu dipertahankan oleh Warisan, terutama di kawasan pantai timur Sabah seperti Semporna, Lahad Datu dan Batu Sapi. Parlimen Sepanggar juga dijangka akan kekal milik Warisan,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata, selepas PRU-14, hanya satu kerusi BN kekal di Sabah iaitu Kinabatangan setelah lima ahli Parlimen mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kemudian, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, BN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong apabila kemenangan Datuk Seri Anifah Aman berjaya dicabar di mahkamah.

Mengulas lanjut katanya, BN dijangka mampu merampas kembali beberapa kerusi yang kini disandang oleh Bersatu pada PRU-15.

Bagi kerusi di kawasan bandar pula seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau akan kekal sebagai kerusi pemimpin Cina. 

Jadi, adalah menjadi tugas besar bagi parti-parti politik termasuk Warisan, menampilkan calon berbangsa Cina jika ingin merebut kerusi di kawasan bandar.

Biarpun Warisan mempunyai ramai pemimpin Cina namun, belum ada pemimpin yang benar-benar menonjol. Maka, Warisan perlu mula menampilkan pemimpin Cina yang boleh menjadi calon pada PRU-15.

“Saya melihat kerusi Kota Kinabalu akan kekal milik DAP kerana masih belum ada calon berpotensi dan menonjol daripada BN mahupun GRS yang boleh diketengahkan.

“Perlu diingat pengundi Cina di Kota Kinabalu masih memilih logo ketika turun mengundi,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN