ARAU: Jeti Bersepadu Sanglang akan dibangunkan dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bermula bagi memastikan kesalinghubungan operasi kedua projek itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, perkara itu telah diberi jaminan oleh pemaju yang melaksanakan kedua-dua projek tersebut.
Katanya, kajian diwajibkan pihak berkuasa berkaitan pembinaan jeti bersepadu tersebut juga telah selesai dijalankan oleh pihak pemaju.
“Selain itu, isu tanah selesai dan tapak projek pembinaan jeti juga telah tersedia manakala reka bentuk serta konsep di peringkat pemaju pun sudah ada.
“Pemaju juga memberi jaminan projek pembinaan jeti itu akan siap selepas enam bulan PIP siap dibina bagi memastikan kedua-dua prasarana ekonomi negeri ini saling melengkapi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Jalinan Kasih Bersama Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, di sini hari ini.
Program tersebut anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara, Jabatan Pendidikan negeri dan Persatuan Tonggak Perlis.
Tambah Azlan, pemaju turut menyatakan bahawa apabila PIP mula beroperasi, ia akan disokong oleh jeti integrasi di Sanglang dan perlu diselaraskan dengan teliti agar tidak menjadi projek gajah putih.
Dalam perkembangan berkaitan, Azlan memberitahu, projek pembinaan ‘bonded road’ sepanjang 3.4 kilometer yang merupakan infrastruktur sokongan PIP di Padang Besar telah siap kira-kira 16 peratus.
Katanya, projek-projek infra sokongan lain seperti pemilihan kontraktor bagi pembinaan jajaran landasan kereta api sepanjang 1.3 kilometer dan jejambat sedang dimuktamadkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
“Kerja-kerja pembangunan infra ini mungkin akan bermula pada Oktober ini dan kita diberi jaminan oleh NCIA bahawa PIP akan dibina serentak dengan jajaran landasan kereta api tersebut,” jelasnya. – UTUSAN