YAN: Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting yang dibangunkan Kumpulan MMC akan membantu mengubah landskap ekonomi daerah Yan yang ketika ini bergantung kepada sektor pertanian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yakin pembangunan projek itu bakal menjadikan Yan seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya hanya perkampungan nelayan.
“Pengerang kemudian membangun pesat sebagai kawasan perindustrian, maka penduduk Yan terutama golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan selepas ini.
“Maka kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek ini yang membabitkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di utara,” katanya ketika merasmikan projek pembangunan berintegrasi itu di Pulau Bunting, di sini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Pengerusi Kumpulan MMC, Tan Sri Tajudin Atan dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd., Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Projek tersebut yang merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai RM14.4 bilion diterima Kedah dibangunkan oleh Kumpulan MMC dengan kerjasama SKS Corporation Sdn. Bhd.
Antara komponen itu adalah hab kapal ke kapal (STS) Yan iaitu sebuah pelabuhan pesisiran pantai khusus untuk aktiviti pemindahan kargo produk gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum secara STS di Had Pelabuhan Yan.
Komponen kedua yang bakal dibina adalah Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu dengan kapasiti 1,400MW yang turut dapat menjamin bekalan tenaga elektrik untuk negara, khususnya bagi wilayah utara di Semenanjung.
Komponen ketiga adalah terminal penghasilan semula gas berupa kapal terapung atau Floating Storage and Regassification Unit (FSRU) ataupun Floating Storage Unit (FSU) yang bakal berlabuh di pesisiran pantai Yan yang dikenali sebagai RGT Yan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelancaran dua projek pelaburan mega termasuk Kedah Rubber City (KRC) sebelum ini yang kesemuanya bernilai kira-kira RM24.4 bilion menunjukkan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.
Ismail Sabri berkata, menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.
“Usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan-kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat,” katanya. – UTUSAN