SUNGAI PETANI: Pemandu Proton Wira Aeroback yang merempuh motosikal ditunggang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hingga menyebabkan kematiannya dalam kejadian langgar lari di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara-Selatan,di Gurun pagi kelmarin ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki warga negara Indonesia berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang sewaktu dia hadir menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Muda.
Zaidy berkata, pemandu yang menetap di Taman Sri Gading, Pokok Sena di Alor Setar itu mengaku terlibat dalam kejadian itu dan melarikan diri kerana takut dipukul.
“Suspek juga berkata dia turut melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
“Pemandu terbabit yang bekerja sebagai buruh memaklumkan dia memandu kereta milik abang iparnya semasa kejadian dan melarikan diri dengan balik ke Pokok Sena sejurus selepas kejadian,” katanya hari ini.
Kata Zaidy, pihaknya kini sedang menyiapkan dokumen untuk memohon perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Sungai Petani esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kemalangan pukul 9.30 pagi itu, Muhammad Nizam Shamsudin, 46, yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang maut akibat cedera parah di kepala setelah dirempuh dari belakang sewaktu menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki KLE650.
Rakannya, Zaili Nizam Muhamad, 43, yang turut menunggang motosikal jenis sama dan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Kanan Imigresen di depot imigresen itu patah kaki kerana tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal Muhammad Nizam yang terjatuh di lorong kecemasan.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan kedua-dua pegawai Imigresen itu sedang melalui susur keluar ke Plaza Tol Gurun bersama kereta yang dipandu suspek. Polis terpaksa membuat hebahan untuk mengesan pemandu terbabit yang melarikan diri selepas mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun. – UTUSAN










