PUTRAJAYA: Pas dijangka memuktamadkan siapa ‘rakan’ kerjasama mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi.
Menurutnya, pada pertemuan itu, Abdul Hadi menjelaskan kepada beliau bahawa parti itu akan memutuskan segera rakan kerjasama mereka pada PRU15 sama ada PN atau UMNO.
“Beliau (Abdul Hadi) menjelaskan, pertemuannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi tidak mencapai apa-apa keputusan. Dia beritahu dia jumpa lepas itu tidak ada apa-apa, katanya tidak ada hasil daripada pertemuan itu.
“Itu baiknya dia lapor pada saya, saya pun kalau jumpa sesiapa, kita lapor balik. Tidak ada benda yang kita sorok.
“Saya diberikan bayangan oleh Abdul Hadi bahawa kemungkinan Pas akan buat keputusan muktamad tentang hala tujunya dalam PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menyerahkan kepada Pas untuk membuat keputusan kerana beliau sudah memberi pandangan supaya PN tidak dilihat tidak kukuh dalam bentuk gabungan.
Jelasnya lagi, PN harus mengambil satu pendirian yang sama dalam semua perkara supaya tidak ada pertembungan kepentingan sekali gus menentukan kemenangan dalam PRU15.
Sebelum ini, Muhyiddin berkongsi hantaran di Facebook mengenai pertemuannya dengan Abdul Hadi dan memaklumkan ia satu pertemuan yang harmoni.
Ia turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ditanya mengenai hasrat Pas untuk mewujudkan perpaduan ummah antara UMNO dan PN, Muhyiddin berkata, hasrat itu baik dan beliau bersetuju, namun realitinya Bersatu tidak mungkin bekerjasama dengan UMNO.
Menurutnya, UMNO sendiri telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak menerima Bersatu ataupun tidak mahu bekerjasama dan sampai hari ini ia kekal.
“UMNO langsung tidak mahu kerjasama, jadi kita terima itu sebagai satu kenyataan dan apabila hadapi PRU15 sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kita, kita akan tentang (lawan).
“Nak kata musuh tak musuh bukan musuh menentang agama, tapi politik dan nampaknya kita akan teruskan usaha kita,” katanya. – UTUSAN










